SK Seksyen 24 Shah Alam

Memuatkan maklumat tentang SK Seksyen 24, pelbagai aktiviti dan pautan untuk pengunjung. Segalanya berkenaan dengan pendidikan termasuk rancangan tahunan dan sukatan pelajaran.

Tuesday, February 17, 2009

Kisah guru dengan anak muridnya

Posted by SK Seksyen 24 Shah Alam

Terdetik untuk meletakkan artikel ini di dalam blog Sk Seksyen 24 agar semua pihak dapat mengerti profesion perguruan yang kini semakin jatuh prestasinya. Walhal saya percaya 100% guru yang ada di Malaysia ini mempunyai tujuan dan azam yang sama iaitu mendidik anak bangsa agar menjadi orang yang taat pada perintah Allah dan juga insan yang seimbang dari segi harmoni, jasmani, rohani dan intelektual sejajar dengan falsafah pendidikan. Tidak ada seorang guru pun yang ingin melihat anak didiknya kecundang dan tidak berjaya. Guru-guru akan berusaha dan terus berusaha untuk melihat anak didiknya dari tidak mengenal huruf sehingga boleh membaca dan sekaligus mengerti apa yang dibaca. Pelbagai kaedah yang guru gunakan baik semasa dalam latihan perguruan sehingga hendak berpencen pendek kata guru akan sentiasa mencari ilmu yang terkini agar anak didiknya mudah memahami. Tetapi.... bacalah luahan hati seorang guru di bawah ini.

KES disiplin timbul lagi; kali ini di Klang; Empat orang pelajar ditikam oleh sekumpulan orang yang tidak dikenali.

Pada hari berita itu disiarkan, seorang pelajar saya ditumbuk oleh seorang pelajar lain, dan sebelum pergaduhan menjadi lebih teruk, perbuatan mereka dihentikan sekumpulan pelajar lain yang berada di situ dan kedua-dua yang terlibat diberi ubat gosok kerana mereka lebam sedikit dan oleh kerana tiada kecederaan teruk, mereka enggan ke hospital dan saya meminta kedua-duanya kembali ke kelas semula.

Saya tidak dapat buat apa-apa lebih dari itu.

Selama tempoh saya mengajar, hampir semua pelajar yang saya kenal, bermula dari kelas yang terbaik sehinggalah ke kelas yang tercorot kerap tertinggal buku di rumah. Pengalaman saya sebagai guru mengajar, apabila pelajar tidak bawa buku teks, maksudnya mereka tidak mahu belajar. Jika mereka tidak bawa buku latihan, maksudnya mereka tidak siap kerja. Jika mereka tidak bawa satu apa pun ke sekolah, maksudnya mereka tidak mahu belajar, dan tidak peduli apa pun, sebaliknya datang ke sekolah semata-mata untuk berjumpa kawan dan keluar dari rumah.

Selalunya apabila mereka tidak bawa buku, saya terpaksa meminta mereka meminjam dari kawan, atau menyalin di dalam kertas lain, dan ditampal dalam buku apabila pulang ke rumah. Saya tahu, mereka tidak akan tampal dalam buku, tapi saya terpaksa juga menyuruh demikian, kerana bimbang mereka akan mengganggu rakan lain yang membawa buku.

Saya tidak dapat buat apa-apa lebih dari itu.

Beberapa minggu lalu, ada seorang pelajar saya dibuang sekolah atas masalah disiplin. Ibunya datang menyerang guru disiplin di sekolah yang memang sudah biasa diserang ibu bapa.

Kami guru-guru hanya meminta ibu itu membawa anaknya ke Pejabat Pelajaran Daerah dan Jabatan Pelajaran Negeri dan memohon masuk ke sekolah semula. Permohonannya dibenarkan (kerana kita ada dasar pendidikan wajib sehingga usia 17 tahun) dan pelajar saya ini datang ke sekolah semula.

Sikapnya masih sama; tidak bawa buku teks dan buku latihan, asyik bermain dalam kelas dan mengganggu rakan yang lain. Apabila saya katakan "Awak ni baru saja datang selepas dibuang sekolah, mengapa masih tidak ubah sikap?", dengan angkuhnya dia berkata kepada saya, "Kalau kena buang sekali lagi pun, saya masih boleh masuk semula. Ini bukan urusan cikgu". Seterusnya saya meminta dia duduk dengan senyap dan melarang dia mengganggu rakan lain. Tetapi, kerana marah dengan saya, pelajar saya itu keluar dari kelas tanpa kebenaran dan tidak kembali sehingga tamat waktu pelajaran saya. Dia tidak masuk kelas juga pada waktu guru lain masuk mengajar. Kawan-kawannya memberitahu saya yang dia telah melompat keluar dari pagar sekolah. Saya hanya dapat mendengar.

Saya tidak dapat buat apa-apa lebih dari itu.

Saya dan mana-mana guru pun di Malaysia ini memang tidak boleh buat apa-apa. Apa yang boleh kami buat ialah menolak markah demerit dan apabila habis markah ditolak, pelajar itu akan dibuang sekolah dan selepas beberapa minggu, mereka akan kembali semula. Semua tindakan yang boleh diambil adalah di atas kertas semata-mata, dan pelajar pun tidak tahu-menahu tentangnya.

Bagaimana kita hendak selesaikan masalah disiplin jika kita asyik hendak berpolitik dan memenangi hati ibu bapa, tanpa menyedari yang kita telah menyembunyikan satu bahagian realiti dunia daripada anak-anak kita? Realiti yang telah kita sembunyikan ialah dunia ini boleh menghukum semua jenis kesalahan. Realitinya ialah, majikan boleh membuang pekerja yang malas. Kita telah sembunyikan realiti ini dari anak-anak kita sebab kita hendak ibu bapa menyokong kita.

Saya mohon Utusan Malaysia siasat bidang kuasa guru; apa yang boleh dan apa yang tidak boleh guru lakukan untuk menguruskan hal disiplin sekolah. Barulah masyarakat tahu realitinya; menjegil mata kepada murid pun sebenarnya menyalahi peraturan.

AKMAL FAIRUZ

IPBA, Jalan Pantai Baru

Petikan ini di ambil dari Utusan Malaysia 16 Februari 2009

0 comments:

Post a Comment